Bersenam ketika puasa

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
bersenam untuk kesihatan

Senaman ringan tidak mendatangkan mudarat kepada individu yang berpuasa. – Gambar hiasan


 

BERSENAM ketika berpuasa? Pasti ramai yang berkata tidak. Alasan yang popular adalah letih, dan ada juga yang menyoal kembali, kenapa perlu bersenam?

Bukankah berat badan akan menurun ketika berpuasa? Jadi, tak perlu lagi bersenam kerana kita sudah mendapat berat badan yang diinginkan selepas sebulan berpuasa.

Inilah persoalan-persoalan yang sering timbul tatkala dikaitkan senaman dengan berpuasa.

“Ramai yang berpendapat bahawa senaman untuk kurus. Ini merupakan pandangan yang tidak benar sama sekali,” kata Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Saiful Adli Suhaimi.

Jelasnya, bersenam sebenarnya adalah untuk mengekalkan kecergasan badan. Tidak guna mendapat bentuk badan yang diingini andai badan tidak cergas.

“Kesihatan optimum tidak akan dapat dicapai seandainya aspek kecergasan fizikal diabaikan sekali pun pada bulan puasa,” katanya.

Menurutnya, untuk kekal cergas ketika berpuasa, aktiviti fizikal sama penting dengan faktor pemakanan.

Kerana itulah katanya, setiap individu yang berpuasa perlu melakukan aktiviti fizikal ringan yang berintensiti rendah bagi terus mengekalkan tahap kesihatan yang sewajarnya.

Kata beliau lagi, puasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengelakkan aktiviti fizikal kerana ketika berpuasa, kalori lebih mudah terbakar.

“Ambillah peluang untuk menurunkan berat badan pada bulan yang mulia ini dan pilihlah aktiviti fizikal yang mudah serta ringan seperti berjalan kaki kerana ia merupakan senaman yang paling senang dilakukan di mana-mana, pada bila-bila masa,” katanya.

Kebaikan berjalan kaki

Menurut Saiful Adli, berjalan kaki mampu memetabolisma (memproses) makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga.

“Ia juga menyihatkan jantung dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung) dengan merendahkan paras kolestrol,” jelas beliau.

Selain itu katanya, berjalan kaki membantu mengawal tekanan darah, mencegah penyakit darah tinggi serta strok dan mengurangkan risiko penyakit kanser usus, payu dara dan prostat.

“Bagi pengidap diabetes senaman jalan kaki baik untuk mereka kerana ia meningkatkan keupayaan badan untuk memproses gula dengan lebih baik dan membantu aliran darah,” katanya.

Jelasnya lagi, jika mahukan bentuk badan yang menarik, berjalan kaki adalah cara yang paling mudah kerana ia membantu mengawal berat badan.

Bagi mereka yang mengalami stres juga digalakkan melakukan senaman berjalan kaki kerana ia merangsang penghasilan hormon endorfin yang membuatkan kita lebih ceria dan sihat.

Tambahnya lagi, berjalan kaki mengekalkan kekuatan otot dan mengurangkan risiko osteoporosis.

Bagi warga emas pula, ia membantu kestabilan dan mengurangkan risiko terjatuh.

“Malah jangan terperanjat kalau dengan berjalan kaki, anda mampu meningkatkan keyakinan diri,” ujar beliau.

Persediaan berjalan kaki

Jelas Saiful Adli, senaman jalan kaki tidak semestinya dilakukan di trek joging dan memakai pakaian sukan lengkap.

Ketika di rumah atau pejabat pun katanya, kita masih boleh melakukan aktiviti tersebut tanpa perlu memaksa diri.

Dengan hanya berjalan antara lima hingga 10 minit katanya, ia mampu memberi perlindungan kepada beberapa penyakit berkait rapat dengan pemakanan.

“Misalnya ketika ke pejabat, cuba letak kereta di tempat yang jauh sedikit, perbanyakkan penggunaan tangga berbanding lif dan minimumkan penggunaan telefon. Jika ingin berurusan dengan rakan sekerja, berjalan kakilah ke tempat mereka,” katanya.

Saiful Adli turut menyarankan agar sekiranya mempunyai urusan di sekitar tempat kerja, ambil peluang berjalan kaki bagi memaksimumkan aktiviti ini.

Selain itu katanya aktiviti berjalan kaki amat mudah dilakukan ketika di rumah.

“Kurangkan penggunaan alat kawalan jauh televisyen dan peralatan elektrik lain, sebaliknya lakukan secara manual,” katanya.

Melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah, mengemop lantai dan membersihkan halaman rumah juga katanya merupakan bentuk senaman ringan yang mudah dilakukan selain daripada berjalan kaki.

Bersiar-siar atau berjalan kaki ke pasar Ramadan untuk membeli juadah merupakan salah satu aktiviti senaman yang mudah dipraktikkan.

“Menunaikan solat tarawih juga dikira aktiviti fizikal, begitu juga dengan berjalan kaki ke masjid,” ujar Saiful Adli lagi.

Teknik

Berjalan kaki, walaupun kelihatan mudah kata Saiful Adli perlu ada teknik yang betul.

“Paling utama, bahagian tumit perlu mencecah tanah sebelum bahagian tapak kaki lain,” katanya.

Jelas beliau lagi, tangan perlu dihayun agar badan seimbang mengikut keselesaan sendiri.

Ketika berjalan, postur badan perlu dijaga iaitu dengan menegakkan kepala dan luruskan bahagian belakang badan.

“Bernafas seperti biasa melalui hidung. Kawal pernafasan, jika tercungap-cungap, kurangkan kelajuan dan berhenti untuk berehat seketika,” katanya.

Selain itu, jangan lupa menetapkan sasaran pada tempoh tertentu untuk meningkatkan atau menurunkan kelajuan.

Aktiviti berjalan katanya perlu berterusan selama 10 minit atau lebih bagi membantu membakar lemak dan kalori makanan dengan berkesan.

“Sekiranya kita berjalan pantas (brisk walking), ia boleh dikategorikan sebagai aktiviti intensiti sederhana,” katanya.

Menurutnya, sama ada dilakukan di dalam (indoor) atau luar rumah, kedua-duanya memberi manfaat kesihatan.

Namun, pada bulan puasa kita digalakkan bersenam di kawasan bertutup memandangkan keadaan cuaca yang sedikit panas.

Risiko

Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal bersesuaian ketika berpuasa memang digalakkan untuk semua peringkat umur tidak kira sesiapa termasuk mereka yang kurang upaya, kata Saiful Adli.

Namun katanya, ia bergantung kepada tahap kesihatan individu itu sendiri.

“Jika tahu diri mempunyai penyakit tertentu, perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu dan tidak digalakkan memaksa diri,” katanya.

Begitu juga dengan mereka yang tidak pernah bersenam, adalah tidak wajar seandainya tiba-tiba ingin melakukan aktiviti fizikal ketika berpuasa.

“Bagi mereka yang tidak biasa bersenam atau berpenyakit, risiko untuk cedera adalah lebih tinggi,” katanya.

Secara kesimpulannya, Saiful Adli berkata kombinasi antara pemakanan, aktiviti fizikal yang bersesuaian dan rehat secukupnya dapat menjadikan badan kita lebih sihat meski pun ketika berpuasa.

“Jadikan keberkatan bulan Ramadan sebagai motivasi untuk menjadi cergas dan sihat dengan mengamalkan aktiviti fizikal,” katanya lagi.