TAHUKAH anda bahawa hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan malah separuh daripada mereka tidak menyedarinya?
Dan 30 peratus daripada jumlah penduduk mempunyai berat badan yang berlebihan dan ini membuatkan mereka berisiko mendapat penyakit itu?
Oleh itu wajarlah anda mengambil tahu dan melakukan sesuatu mengenainya!
Diabetes adalah keadaan kesihatan kronik di mana tubuh tidak mampu menghasilkan insulin dan penguraian gula (glukosa) yang betul di dalam darah.
Simptom-simptom termasuk rasa lapar, dahaga, kencing berlebihan, penyahhidratan dan kehilangan berat badan.
>> menurunkan kencing manis dengan rawatan berasaskan air Zam-zam, klik sini <<
Rawatan diabetes memerlukan suntikan insulin setiap hari, pemakanan yang betul dan senaman yang kerap. Terdapat dua jenis diabetes yang utama.
Pergantungan pada insulin (jenis 1) di mana tubuh tidak menghasilkan sebarang insulin dan kebanyakannya berlaku di kalangan kanak-kanak dan dewasa muda.
Orang yang menghidap diabetes jenis 1 mesti mengambil suntikan insulin setiap hari untuk terus hidup.
Diabetes bukan bergantung pada insulin (jenis 2) pula adalah gangguan metabolik yang berlaku akibat ketidakmampuan tubuh menghasilkan insulin yang cukup atau insulin yang diguna dengan betul.
Ia adalah bentuk lazim penyakit ini dan sebahagian besarnya disebabkan oleh gaya hidup sedentari (yang tidak banyak bergerak) dan berat badan berlebihan.
Diabetes, jika dibiarkan tanpa rawatan, boleh menyebabkan komplikasi lain dan mungkin membawa maut. Ia adalah pembunuh senyap.
Bagaimanapun, penghidap diabetes boleh mencapai kesihatan optimum dengan mengubah gaya hidup mereka dan mematuhi peraturan tertentu.
Pengurusan diabetes yang betul adalah penting dalam mengelakkan komplikasi jangka panjang yang serius, yang timbul akibat gula darah yang tinggi.
Diabetes yang tidak diurus (atau diurus dengan teruk) boleh mendatangkan komplikasi perubatan yang serius seperti menjadi buta, pemotongan anggota badan, atau kerosakan kekal pada organ dalaman.
Ternyata sekali, pengurusan diabetes adalah sesuatu yang pesakit diabetes mesti lakukan secara serius.
Menurut Persatuan Diabetes Malaysia (www.diabetes.org.my), pemakanan yang disertakan dengan senaman dan ubat (insulin atau pil diabetes), adalah penting bagi mengawal diabetes iaitu mengekalkan paras gula darah seberapa normal yang boleh (paras untuk bukan pesakit diabetes).
Tiada satu pun makanan yang boleh membekalkan semua nutrien yang tubuh anda perlukan, oleh itu pemakanan yang bagus bererti makan pelbagai makanan.
Nutrien utama dalam makanan adalah karbohidrat, protein, lemak, vitamin, dan mineral. Nutrien membantu tubuh anda bekerja dengan betul dan membuatkan tubuh muda membesar.
Karbohidrat memberikan anda tenaga. Pilihan yang menyihatkan adalah kacang kering, kacang pis dan dal; roti bijirin penuh, bijian, dan biskut rangup, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Protein diperlukan untuk tumbesaran dan menjadi bekalan tenaga sokongan yang baik. Pilihan yang sihat termasuk daging tanpa lemak dan tenusu rendah lemak.
Makanan tinggi serat juga menyihatkan. Serat datang daripada tumbuhan dan boleh membantu menurunkan paras gula darah dan paras lemak darah.
Makanan tinggi serat termasuk bijian bran, kacang dan pis yang telah dimasak, roti bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Penghidap diabetes harus mengurangkan makanan yang tinggi kandungan gulanya seperti kek dan pai bersalut gula, makanan sarapan yang manis, gula biasa, madu dan sirap.
Satu tin minuman ringan 12 auns mempunyai sembilan sudu teh gula. Jika boleh, elakkan sama sekali pengambilan alkohol kerana ia mengandungi jumlah gula yang membimbangkan.
Hidup dengan diabetes boleh membawa tekanan. Melakukan ujian gula darah, mengambil ubat, dan mengikuti pelan sajian anda memerlukan usaha tambahan dan boleh menyebabkan tekanan, yang akan menaikkan paras gula darah anda.
Ini memang kitaran yang kejam, sebenarnya. Walaupun sesetengah tekanan memang baik untuk anda, belajar mengatasi tekanan adalah penting.
Apabila anda berasa terlalu tertekan, cuba bertenang dan berehat. Jika anda berada di rumah, anda mungkin mahu berbaring di atas kerusi, melelapkan mata dan mendengar muzik.
Senaman yang kerap adalah bahagian penting dalam pengurusan diabetes jangka panjang.
Disebabkan neuropati periferal sering mempunyai kesan serius ke atas jisim otot dan kawalan tangan serta kaki, senaman membina otot boleh menjadi satu cara menguruskan sesetengah kesan fizikal diabetes.
Membangunkan rutin latihan berat berkesan yang anda boleh lakukan dengan senang di rumah sendiri boleh menjadikan bahagian pengurusan diabetes ini lebih mudah berbanding membuat komitmen untuk pergi ke gim secara kerap.
Luangkan masa selama 30 minit setiap hari untuk bersenam, walaupun cuma berjalan pantas. Minta nasihat doktor anda memilih senaman yang sesuai untuk anda.
Diabetes adalah penyakit sepanjang hayat dan kawalannya berada di tangan anda.
– Dr. Rajbans Singh merupakan seorang pakar runding geriatrik
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm#ixzz3KhYMnuvI
© Utusan Melayu (M) Bhd
1 thought on “Kesihatan optimum pesakit diabetes”
Comments are closed.