Tekanan darah tinggi sukar dikawal – bhgn 1

Pesakit boleh diserang komplikasi kardiovaskular yang membawa maut

DI SELURUH dunia, kegagalan mengawal masalah tekanan darah tinggi kerap menjadi punca penyakit kronik seperti kardiovaskular dan masalah ginjal.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2002 menyebut, setiap tahun 5 juta kematian pra matang dicatatkan di seluruh dunia berpunca daripada tekanan darah tinggi .

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata senario yang sama juga berlaku di negara ini dan dianggarkan seorang daripada tiga warga Malaysia berusia 30 tahun ke atas berhadapan dengan masalah tekanan darah tinggi .

 

>> ubat darah tinggi <<

 

Bagaimanapun, katanya hanya enam daripada 100 pesakit berupaya mengawal masalah mereka.

“Pada peringkat global, tujuh daripada 10 pesakit tekanan darah tinggi tidak berupaya mengawal penyakit ini. Masalahnya, tanpa kawalan dan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi kardiovaskular seperti serangan jantung, strok selain masalah buah pinggang,” katanya.

Dr Khoo berkata, pesakit diabetes yang juga didiagnos dengan tekanan darah tinggi adalah golongan pesakit yang paling gagal mengawal keadaan itu.

“Bacaan tekanan darah diukur dalam milimeter merkuri (mm Hg) dan memiliki dua nombor. Nombor pada bahagian atas adalah ukuran tekanan dalam arteri apabila jantung berdegup (systolic pressure), manakala nombor di bawah adalah ukuran tekanan arteri di antara degupan (diastolic pressure).

 

“Keadaan yang didefinisikan sebagai masalah tekanan darah tinggi terjadi apabila ia mencecah 140/90 mmHg atau lebih,” katanya.

Beliau berkata, apabila tekanan darah tinggi tidak dikawal, ia akan menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir, mengingat dan belajar.

“Masalah kognitif dan otak (dementia) adalah antara keadaan yang biasa dialami mereka yang tidak mengawal tekanan darah tinggi dengan baik.

“Ia juga secara tidak langsung menjadi punca kes kematian dan kemerosotan kualiti hidup disebabkan oleh serangan jantung, strok dan kegagalan ginjal,” katanya.

Beliau berkata, dalam satu kajian didapati risiko kematian disebabkan serangan jantung secara langsung dikaitkan dengan tekanan darah tinggi. Lebih tinggi kadar tekanan darah anda, lebih tinggi juga risiko yang anda hadapi.

1 thought on “Tekanan darah tinggi sukar dikawal – bhgn 1”

Comments are closed.