ARKIB : 26/09/2010
Pembunuh nombor satu
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 25 Sept. – Orang ramai dinasihat meningkatkan penjagaan amalan pemakanan dan mengamalkan cara hidup sihat berikutan peningkatan kadar pesakit jantung di negeri ini.
Pakar Perunding Jantung dan Perubatan Hospital Pakar Kuantan (KSH), Datuk P. Rajagopal berkata, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu apabila 15.5 peratus daripada penghidapnya di negeri ini meninggal dunia pada tahun lalu.
‘‘Serangan jantung berlaku apabila saluran darah tersumbat atau tidak stabil mengakibatkan pengaliran darah yang membawa oksigen tidak sampai ke jantung.
‘‘Cara untuk mengelakkan daripada menghidapi penyakit jantung ialah sentiasa berjumpa doktor apabila berasa sakit dada dan sering melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat KSH di sini, semalam
Sambutan itu dirasmikan Pengarah Perubatan KSH, Datuk Dr. Ngun Kok Wong.
Pelbagai acara diadakan sepanjang sambutan tersebut termasuk pameran penyakit jantung dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Dr. Rajagopal berkata, amalan senaman dan menjaga kandungan gula dalam badan dapat mengelakkan risiko menghidap penyakit kronik tersebut.
Sementara itu, pakar pemakanan hospital itu, Dr. Normazila Zaidi berkata, rakyat negara ini gemar mengambil makanan yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi dan berminyak.
‘‘Untuk mengurangkan risiko memperoleh penyakit jantung adalah melalui pengambilan makanan yang berkhasiat.
‘‘Kurangkan makanan bergoreng, berminyak dan santan sebaliknya mengubah selera dengan memakan makanan yang dibakar atau direbus.
‘‘Apabila kandungan kolestrol dalam badan dikawal dengan baik maka kesihatan jantung akan terjamin,” jelasnya.
Beliau juga menasihati orang ramai mengambil makanan seimbang yang terdiri daripada protein, karbohidrat, lemak dan gula serta pengambilan sayuran hijau dan berkanji seperti labu serta kentang.
Sementara itu, seorang pengunjung, Dohonan Daie, 72, dari Kemaman, Terengganu berkata, dia mengambil kesempatan menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di hospital itu sempena sambutan tersebut.
Dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang penyakit kronik walaupun telah berumur.
‘‘Setakat ini, saya tidak menghidap sebarang penyakit walaupun berusia 72 tahun.
‘‘Ini mungkin kerana saya tidak merokok dan makan dalam kuantiti yang sedikit menyebabkan saya tidak mempunyai masalah kesihatan,” jelasnya.
1 thought on “Penyakit jantung , pembunuh no. 1”
Comments are closed.