Tekanan Punca Masalah Jantung & Darah Tinggi

Tekanan antara faktor utama yang menyebabkan masalah kesihatan, terutama penyakit jantung koronari, dalam masyarakat zaman moden sekarang. Ia boleh berpunca dari faktor luaran atau dalaman seseorang. Tekanan boleh menjadi faktor positif yang mendorong seseorang untuk lebih tekun berkerja, tetapi jika ia menjadi terlampau dan di luar kawalan, ia menjadi unsur yang boleh merosakkan kesihatan seseorang.

Faktor luaran termasuk kerjaya, hubungan sesama manusia, rumah tangga dan keluarga yang menyebabkan situasi yang mencabar, tekanan kerja, jangkaan dan harapan kehidupan seharian. Antara faktor dalaman pula ialah tindak balas dan keupayaan mengawal tekanan dari faktor luaran tadi, termasuk status nutrisi, tahap kesihatan fizikal dan kecergasan, kekuatan emosi dan tidur serta rehat secukupnya bagi seseorang. Mengharapkan sesuatu yang sempurna dan terlalu mengikut perancangan kita adalah faktor dalaman yang boleh menyebabkan seseorang mengalami tekanan yang tinggi.

Tekanan boleh menyebabkan penyakit jantung kerana berlaku perubahan hormon iaitu hormon adrenalin dan kortisol. Ia juga boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang. Seseorang yang mengalami tekanan biasanya mengambil tindakan boleh memburukkan kesihatan seperti merokok, minum arak, makan berlebihan. Kesan dari tabiat tidak sihat ini, kesihatan jantung seseorang akan terjejas dan boleh menyebabkan penyakit jantung kronik.

Kaitan tekanan dan kesannya kepada kesihatan dikaji oleh ahli sains, Hans Selye, pada 1946. Beliau berpendapat tekanan punca pelbagai masalah kesihatan dan penyakit. Beliau membahagikan tekanan kepada tiga tahap iaitu Amaran (Alarm), Rintangan (Resistance) dan Keletihan (Exhaustion). Kajian terbaru menunjukkan tekanan boleh menyebabkan penyakit jantung. Namun, masih berlaku perdebatan bagaimanakah mekanisme sebenar tekanan yang boleh mengganggu kesihatan jantung.

Manusia zaman moden tidak lagi mengalami tekanan sebagaimana manusia yang hidup pada zaman purba yang mengalaminya apabila terserempak dengan binatang buas. Tekanan dialami ketika bertemu binatang buas akan menyebabkan tubuh bersedia melawan atau lari (flight or fight) dan dalam keadaan ini hormon adrenalin dan kortisol yang keluar akan membantu seseorang keluar dari masalah itu.

Dalam zaman moden, tekanan akibat kerjaya, keluarga, masyarakat dan wang menyebabkan tubuh memberi tindak balas serupa iaitu menghasilkan hormon ini secara berterusan dan dalam jumlah tinggi.Apabila hormon ini terlalu tinggi dalam tubuh seseorang, ia mengganggu kesihatan jantung dan sistem pembuluh darah.

Menurut kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan Circulation pada 2000 bertajuk Mental Stress Induces Transient Endothelial Dysfunction in Human, setiap kali seseorang mengalami tekanan, akan berlaku kerosakan dinding dalaman saluran darah (endothelial dysfunction) selama empat jam. Kerosakan ini akan menyebabkan saluran darah rosak dan kolesterol lebih mudah mendap. Kesan jangkamasa panjang akan menyebabkan saluran darah tersumbat dan akhirnya berlaku penyakit jantung, darah tinggi dan strok.

Satu lagi kajian dilaporkan dalam Jurnal Perubatan British (BMJ) pada 2006 bertajuk Chronic Stress At work and The Metabolic Syndrome: Prospective Study membabitkan 10,308 lelaki dan wanita berkerjaya berumur antara 35 hingga 55 tahun. Kajian ini menunjukkan tekanan akibat pekerjaan menyumbang kepada faktor risiko tinggi untuk penyakit jantung iaitu sindrom metabolik. Seseorang yang mengalami tekanan tinggi dan tidak terkawal akan berisiko tinggi mendapat darah tinggi, kolesterol tinggi, perut buncit, obesiti dan penyakit jantung.

>> ubat darah tinggi tradisional <<

 

Memilih cara tidak sihat untuk menurunkan tekanan seperti merokok, minum kopi berlebihan, makan makanan atau minuman manis, minum arak, mengambil dadah dan ubat penenang akan memburukkan kesihatan seseorang. Oleh itu, mengawal tekanan dengan cara lebih sihat sangat penting untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Makan secara sihat dan bersenam dengan lebih kerap juga membantu mengurangkan tekanan. Selain itu, bersukan seperti badminton, futsal dan golf adalah kaedah baik untuk bersenam sambil mengurangkan tekanan.

Bersikap positif dan menghadapi cabaran hidup secara positif adalah terapi tekanan yang sangat baik. Malah, kajian menunjukkan seseorang yang bersikap positif mempunyai risiko penyakit jantung lebih rendah.

Sebagai seorang Islam, solat, berzikir dan membaca al-Quran adalah kaedah terbaik untuk menurunkan kadar tekanan sese–orang.

Bergaul dengan masyarakat termasuk berjemaah di masjid, membuat kerja amal dengan membantu dan bersedekah kepada orang lebih susah dan memerlukan akan membantu mengurangkan tekanan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tekananpuncamasalahjantung/MA/Article/index_html