Menurut Panduan Amalan Klinikal (CPG) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, darah tinggi adalah keadaan tekanan darah sistolik melebihi 140mmHg dan tekanan darah diastolik melebihi 90mmHg dengan mengambil bacaan sekurang-kurangnya dua kali dalam dua lawatan oleh doktor. Bagi pesakit yang menghidap masalah darah tinggi, doktor akan memberikan preskripsi ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi.
Tekanan darah tinggi juga dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ia tidak memberikan tanda atau amaran.
Sekiranya tidak dirawat, ia boleh membawa risiko serangan jantung, strok, penyakit buah pinggang dan dementia (nyanyuk).Ia berlaku apabila jantung menggunakan tekanan berlebihan bagi mengepam darah ke urat dan arteri manakala peningkatan berulang kali ini menyebabkan tekanan darah tinggi kronik.
Pengerusi Persatuan Hipertensi Malaysia (PHM) Datin Dr Chia Yook Chin berkata, pada 2006, statistik menunjukkan 32.6 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap masalah tekanan darah tinggi manakala 42.6 peratus berusia 40 tahun dan lebih.
“Bagaimanapun pada 2011, jumlah ini meningkat kepada 33 peratus (melebihi 18 tahun) dan 45 peratus (40 tahun atau lebih).
“Berikutan itu, tidak mustahil lebih separuh rakyat di negara ini yang berumur lebih 40 tahun boleh menghidap penyakit ini apatah lagi dengan masalah kegemukan yang membelenggu masyarakat turut menjadi penyumbang kepada penyakit darah tinggi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Katanya, ketika ini secara keseluruhan dianggar 4.8 juta penduduk di Malaysia menghidapi penyakit tekanan darah tinggi atau dikenali sebagai hipertensi.
“Lebih membimbangkan dua daripada tiga pesakit tidak mengetahui mereka menghidap tekanan darah tinggi memandangkan ia tidak menunjukkan tanda awal seperti penyakit berbahaya lain.
“Perlu diingatkan penyakit darah tinggi menyumbang 62 peratus kepada semua jenis penyakit, termasuk strok dan 49 peratus penyakit jantung selain turut menyebabkan masalah buah pinggang serta kegagalan fungsi hati.
“Justeru, saya menggesa orang ramai membuat pemeriksaan berkala setiap tahun bagi memastikan mereka tidak menghidapi penyakit darah tinggi,” katanya.
Ubat darah tinggi berasaskan AIR ZAM ZAM