KESAKITAN sering kali menjejaskan keselesaan seseorang sama ada ketika bekerja atau ketika menjalani kehidupan seharian, kata Profesor Perubatan dan Toksikologi Klinikal, Universiti Newcastle, Prof Alison Jones.
Beliau berkata, ada dua kategori utama manusia yang memerlukan kelegaan daripada kesakitan, iaitu pertama adalah mereka yang memerlukan pil melegakan kesakitan sekali sekala iaitu apabila sakit kepala, sakit gigi atau apabila diserang demam.
Katanya, kumpulan kedua pula membabitkan mereka yang memerlukan kelegaan sakit secara lebih kerap (setiap hari misalnya) untuk tempoh beberapa bulan atau tahun.
“Selalunya golongan pengguna jangka panjang ini memerlukan kelegaan berterusan kerana menghidap masalah kronik seperti osteoartritis atau sakit otot dan sendi akibat penuaan,” katanya.